Monday, May 27, 2013

Berita: Pertandingan lukisan bunga raya

PERTANDINGAN Lukisan Cat Air Bunga Raya anjuran Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM9,000 terbuka kepada warga negara yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta sehingga 31 Januari ini.

BSLN dalam kenyataan di laman webnya berkata, pemenang pertama pertandingan lukisan yang diadakan sempena sambutan 50 tahun bunga raya sebagai bunga kebangsaan itu bakal membawa pulang hadiah bernilai RM3,000; kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,000), manakala 10 pemenang sagu hati menerima RM300.
“Kriteria pemilihan isi kandungan untuk penyertaan mengkehendaki peserta membuat penyelidikan dan memahami latar belakang dan asal usul Bunga Raya dengan karya mempunyai kaitan atau berasaskan perkara seperti negara, budaya, kaum atau bangsa, jati diri dan agama.


“Ini kerana pertandingan ini bertujuan untuk memupuk apresiasi terhadap bunga raya sebagai bunga warisan kebangsaan dalam generasi muda, selain membina suasana daya saing yang positif di kalangan komuniti kreatif muda,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, pertandingan terbabit juga bermatlamat untuk menjadikan bunga raya sebagai inspirasi dalam membentuk identiti dan lambang kemegahan negara, sekali gus memartabatkan seni lukis cat air sebagai media lukisan pilihan generasi akan datang.

“Majlis penyampaian hadiah dan pameran akan diadakan pada Julai tahun depan, manakala keputusan penghakiman adalah muktamad,” kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut hubungi Shamsul Bahari atau Nordiana di talian 03-40267000 atau lawati laman web www.artgallery.gov.my.

No comments:

Post a Comment